Hadapan | Pengenalan | Persilatan | Senjata | Kalendar | Berita | Islam | Warisan | Galeri
Asal Usul Silat Seni Warisan Bangsa (http://silat.8m.com) Pernah penulis ditanya beberapa rakan yang mengenali diri, dari mana asal usul laman web Silat Seni Warisan Bangsa? Sebenarnya, antara pengunjung ada yang sudah biasa mengunjungi SSWB ini dari dulu lagi. Penulis mengatakan dari dulu lagi kerana SSWB sebenarnya sudah wujud sejak dua tahun yang lalu tetapi disebabkan kekurangan pengalaman dan maklumat mengenai silat, maka laman tersebut dibiar 'lena' di url http://silat.8m.comNamun impian untuk mengadakan satu laman web khusus untuk Silat Melayu masih tersimpan rapi di dalam kalbu ini. Maka berbekalkan azam dan hasrat yang kuat, penulis mula mempelajari selok-belok merekabentuk laman web. Sedikit demi sedikit, asas-asas html dan wysiwyg berjaya dipelajari. Tetapi, masa dan kewangan tidak mengizinkan. SSWB terhenti penjagaannya selama hampir dua tahun. Pengunjung pernah email kepada penulis untuk memberi semangat terus mengemaskinikan laman ini.
Namun, apakan daya, diri semasa itu masih lagi belajar di universiti tempatan dan tidak mempunyai talian internet mahupun masa untuk mengendalikannya. Tetapi tuah ayam nampak di kakinya, tuah manusia siapa yang tahu. Pada bulan Disember 2000, penulis memasuki alam pekerjaan di sebuah majalah tempatan (cuba teka yang mana). Dengan kekurangan beban sedikit dengan bekalan gaji bulanan, pada bulan Disember 2000, penulis nekad untuk menyambung kembali hasrat yang telah lama tergendala. Maka, pada penghujung Ramadhan 1421, SSWB mula dikemaskini dengan pesat sekali, sehingga kini. Malah, kadangkala ia merupakan laman bertemakan Silat yang paling dikemaskini, hampir setiap hari.
Nama Silat Seni Warisan Bangsa itu sendiri mempunyai cerita di sebaliknya. Pada awalnya, tiga tahun yang lepas, penulis bermula hanya dengan serangkap pantun yang diilhamkan diri.
Seni Silat Seni Warisan
Warkah Ilmu Para Pahlawan
Menjadi Pembentuk Peribadi Idaman
Semoga Usaha Dirahmati Tuhan
Pantun ini menjadi bayangan di dalam diri sendiri. Ke kuliah, semasa membeli-belah, atau keluar dengan kawan-kawan. Diri sering tertanya apa yang istimewanya pantun ini sedangkan banyak lagi perkara yang boleh difikirkan? Mungkin diri ingin memberitahu sesuatu. Penulis merenung jauh ke dalam diri. Mampukah diri ini mengarang sebuah laman web khas bagi Silat Melayu sedangkan ilmu silat di dada amat cetek sekali.
Tetapi, hari bersilih ganti dan diri tidak dapat mengubah keputusan yang telah dibuat sanubari. Ditanya, ingin? Jawabnya, ingin. Dengan itu, penulis telah berusaha mempelajari juga sedikit sebanyak cara-cara mereka laman web untuk menjayakan hasrat ini. Semasa memilih nama laman ini, teringat kepada pantun yang ternging di ingatan. Baris pertama diambil dan diubah menjadi Silat Seni Warisan Bangsa. Kalau hendak diikutkan, boleh saja dinamakannya Silat Seni Warisan kerana lebih tepat dengan pantunnya.
Tetapi diri mengenangkan bahawa ada satu makna khusus yang terkandung di dalam baris pertama itu yang tidak dapat disampaikan melalui pantun, iaitu Seni Silat sebenarnya adalah Warisan Bangsa Melayu. Untuk mengelakkan panjangnya tajuk, ia dinamakan Silat Seni Warisan Bangsa dan dapat dibaca dengan dua cara. Satu, Silat ialah seni warisan kepada bangsa Melayu.
Kedua, dari belakang pula, apabila sebuah bangsa berkembang, ia mempunyai warisan dan warisan itu terdiri daripada seni dan salah satu seni ialah silat. Dengan perkataan silat saja di pangkal tajuk menunjukkan bangsa yang dimaksudkan ialah Melayu. Bukan untuk diri penulis menunjuk bagus dan walaupun pernah dituduh begitu tetapi niat di hati hanya Allah yang Maha Mengetahui. Ilmu dan pengalaman di dalam silat baru secolek kelingking, tetapi diri ini yakin dengan bantuan pengunjung dan peminat Silat Melayu, laman web SSWB akan menjadi antara laman persilatan yang paling digemari, InsyaAllah.
Mohd Nadzrin Wahab