Free Web Hosting Provider - Web Hosting - E-commerce - High Speed Internet - Free Web Page
Search the Web

Hadapan | Pengenalan | Persilatan | Senjata | Kalendar | Berita | Islam | Warisan | Galeri

Berita Bulan Julai 2001

Ngauman Serimau Hitam gegarkan Kampar
Oleh Wartawan SSWB

29.07.01: Kampar Di Perak Darul Ridzuan hari ini digegarkan dengan ngauman penuntut Seni Silat Serimau Hitam di Kejohanan Silat Seni PSSSHP Negeri Perak kali ketiga.

Kejohanan yang diadakan di Dewan Serbaguna SRJK (Tamil) Kampar telah dibanjiri penuntut Serimau Hitam dari daerah seluruh Perak. Seramai 144 peserta telah mewakili tujuh cawangan mereka di Teluk Intan, Kampar, Batu Gajah, Tg. Tualang, Chenderiang dan Malim Nawar.

SMK Seri Kampar telah membolot anugerah kejohanan dengan menjadi juara keseluruhan dan juga menerima anugerah khas Serimau Hitam. Majlis tersebut telah dihadiri guru utama Serimau Hitam, Haji Baharum Hathir, Pengarah Kebudayaan & Kesenian Perak, Nawi Haji Adek dan penerbit majalah SENI BELADIRI, Azlan Ghanie.


Wajadiri Cekak Hanafi meriah
Oleh TridenKelRaza

22.07.01: Pesilat-pesilat Dari 29 institut pengajian tinggi dan 22 sekolah menengah seluruh Malaysia telah berentap dengan semangatnya di Pertandingan Wajadiri Silat Cekak Hanafi 2001 di UKM Bangi hari ini.

Penonton dan penyokong pasukan-pasukan masing-masing menggamitkan Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) dengan laungan dan nyanyian sokongan yang nyata memeriahkan lagi suasana pertandingan.

Untuk mendapatkan laporan penuh pertandingan, sila klik sini


PESAKA lancar lamanweb
Oleh Wartawan SSWB

pesaka.jpg (11531 bytes)22.07.01: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) hari ini melancarkan lamanwebnya sempena Persidangan Agung Ke-9 pertubuhan itu di sebuah hotel di Shah Alam. Majlis dan lamanweb itu telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Di dalam ucapannya, Pak Lah telah menyampaikan amanatnya kepada PESAKA berhubung masalah anak-anak muda yang mudah terpengaruh dengan anasir-anasir yang merosakkan. Contoh yang diberi ialah ikutan pemujaan syaitan baru-baru ini.

Beliau juga berkata akan mengusulkan permohonan PESAKA untuk menjadikan Silat Melayu sebagai seni beladiri rasmi Malaysia. Pak Lah juga merasmikan lamanweb PESAKA. Lamanweb tersebut boleh dilayari di www.pesakamalaysia.com


Sendeng Full Contact
Oleh Lela Rentaka

22.07.01: Kejohanan Terbuka Pahang "Sendeng Full Contact (SFC)" akan berlangsung pada 3-5 Ogos 2001. Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia Pahang akan mengadakan sebuah pertandingan beladiri jenis "Full Contact" di Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Syah, Kuala Lipis Pahang.

Pertandingan ini hanya terbuka kepada ahli PSSSM yang berdaftar dan
umur 18-35 tahun. Pertunjukan Silat Seni akan diadakan oleh ahli PSSSM dan beberapa persatuan silat lain.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Rumlan Ismail-S/usaha PSSSM Pahang
Tel : 019-9676677, Md. Anuar Abd Malek-Bendahari PSSSM Pahang Tel : 09 - 5721226


30 Pesilat bergaduh, serang Wasit
Dari Berita Harian

15.07.01: Kira-kira 30 pesilat terbabit dalam pergaduhan pada hari keempat Kejuaraan Silat Negeri Sembilan ke-8 di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi di sini, malam tadi.Pergaduhan itu dikatakan berlaku di luar sebuah dewan di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, selepas keputusan satu acara pertandingan itu diumumkan, kira-kira jam 11.40 malam.

Kejadian itu dipercayai bermula apabila seorang pesilat membantah keputusan wasit (pengadil) pertandingan itu. Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang apabila pesilat berumur 18 tahun itu dan beberapa rakannya menendang dan menumbuk wasit berumur dalam lingkungan 60-an itu. Berikutan itu, sekumpulan pesilat lain cuba membantu hingga mencetuskan pergaduhan kira-kira 20 minit sebelum dileraikan anggota polis yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan.

Dalam kejadian itu, seorang peniaga berusia 34 tahun turut diserang selepas cuba membantu wasit berkenaan. Peniaga itu yang enggan dikenali membuat laporan di Balai Polis Seremban, petang ini. Jurucakap polis mengesahkan menerima laporan itu, tetapi setakat ini tiada tangkapan dibuat.

Difahamkan, dua pesilat bergaduh lagi pagi ini kerana tidak puas hati dengan kejadian malam tadi. Sebanyak 15 pertubuhan silat menyertai kejohanan lima hari itu yang berakhir hari ini, anjuran Jabatan Belia dan Sukan, Pejabat Kebudayaan dan Kesenian serta Majlis Sukan Negeri Sembilan.

Sementara itu, wasit yang dipukul, berkata beliau tidak mahu membalas serangan pesilat terbabit kerana sebagai orang tua, tidak wajar berbuat demikian. Beliau juga tidak bercadang membuat laporan polis. "Saya menganggap perkara ini kecil dan tidak mahu diperbesarkan. Kalau saya membalas serangan mereka, itu bukan cara untuk mendisiplinkan mereka. Saya harap mereka mendapat isyarat ini," katanya.

Katanya, beliau diserang dari depan dan belakang, tetapi masih dapat mengenali penyerangnya.


Kejohanan Silat Seni Serimau Hitam
Oleh Saiful Azhar

9.07.01: Kejohanan Silat Seni Peringkat Negeri Perak Persatuan Seni Silat Serimau Hitam Perak (PSSSHP) Kali Ke 3 akan dianjurkan bersama Pejabat Kebudayaan Dan Kesenian Negeri Perak. Majlis ini akan berlangsung pada 29 Julai 2001 (Ahad) bertempat di Sekolah Rendah Chuang Hwa, Kampar, Perak pada 8.30 pagi. Persatuan Seni Silat Serimau Hitam Perak kini di bawah naungan Bapak Guru Tuan Haji Baharum bin Hathir yang lebih dikenali sebagai Pak Baharum.

Untuk maklumat lanjut, sila email:serimauhitam2001@yahoo.com.


KICKBOXER!
Oleh Rauf

8.07.01: Kejuaraan Dunia Middleweight sukan kickboxing akan diadakan di Stadium Tertutup Shah Alam, Selangor pada 28 Julai ini. Acara yang ditaja jenama Winston ini memaparkan perlawanan akhir di antara dua kickboxer untuk merebut gelaran juara dunia kelas middleweight.

Tommy Kimber yang digelar 'The Terminator' Juara Dunia IKF (Persekutuan Kickboxing Antarabangsa) akan bertemu Dave Marinoble 'The Madman' Juara AS terkini di Stadium Tertutup Shah Alam pada pukul 8malam di Shah Alam.

Acara ini menarik nama-nama syarikat besar di Malaysia untuk terlibat sama, TV3 sebagai penyiar rasmi dan Malaysia Airlines sebagai pengangkutan rasmi. Tiket sudah mula dijual pada harga RM15, RM28 dan RM130. Tiket boleh dipesan dengan memanggil 03-705 3000.


Jak Othman Keluar TV?
Oleh MatBlaq

4.07.01: Pengarah Dokumentari Beladiri, Jak Othman telah bertolak ke United Kingdom (UK) untuk memulakan siri seminar Harimau Berantainya selama dua minggu. Beliau akan kembali ke tanahair pada 18 Julai nanti. Di dalam pertemuan bersama wartawan SSWB, beliau mendedahkan bahawa beliau telah dijemput untuk muncul di sebuah forum dalam rancangan MHI (Malaysia Hari Ini) TV3 pada 22 Julai. Walau bagaimanapun, topik dan perjalanan forum tersebut tidak diketahui.