Cekak Hanafi Cemerlang lagi!
Oleh Wartawan SSWB
18.08.01:
Silat Cekak Hanafi sekali lagi berjaya mencatat sejarah Silat Melayu
dengan menjadi pertubuhan silat pertama mencatatkan rekod demonstrasi silat terbesar di
dalam Malaysia Book of Records di Esplanade KLCC hari ini.
Seramai 3,939 pesilat di seluruh Malaysia telah menyertai acara yang dinamakan Gerak Cemerlang Silat Cekak Hanafi ini. Pada pukul 5pm, demonstrasi Silat Cekak Hanafi yang bertema Segerak Searah telah diadakan di pusat-pusat tertentu secara serentak di seluruh negara.
Di Esplanade KLCC sahaja pesilat yang menyertai berjumlah 1,616. Acara tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Khalid Yunus. Turut hadir ialah Guru Utama Silat Cekak Hanafi, Md. Radzi Hj. Hanafi, Pengarah Urusan Malaysia Book of Records, Danny Ooi dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk A Aziz Deraman.
Acara tersebut yang merupakan
sebahagian daripada perayaan Cemerlang 2001 Silat Cekak Hanafi merupakan satu usaha
bersepadu bagi meningkatkan imej persatuan dan masyarakat silat secara keseluruhan.
Menurut Md. Radzi, KLCC dipilih disebabkan lokasinya yang popular dengan remaja Kuala Lumpur di mana remaja merupakan sasaran utama Silat Cekak Hanafi di dalam mendekatkan diri dengan golongan itu. Ini secara tidak langsung dapat membantu usaha kerajaan untuk membasmi unsur-unsur negatif di kalangan muda-mudi.
Sendeng Full Contact bawa harapan
pesilat
Oleh Rauf
5.08.01: Kejohanan
Sendeng Full Contact Terbuka
Pahang yang diadakan di Kuala Lipis, Pahang dari 2-5 Ogos 2001 bakal membawa harapan besar
kepada pesilat-pesilat Malaysia di masa akan datang.
Telah dikatakan oleh pihak Persatuan Seni Silat Sendeng Malaysia (PSSSM) bahawa SFC merupakan batu loncatan bagi ahli-ahli Sendeng untuk mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.
Mengikut perancangan PSSSM, SFC buat masa sekarang terbuka hanya kepada ahli Sendeng seluruh Malaysia sahaja. Tetapi tidak lama lagi akan dibuka kepada pesilat dari mana-mana perguruan.
Peraturan SFC berlainan sedikit daripada silat olahraga iaitu
peserta dibenarkan menyerang kepala lawan dan rusuk melainkan tidak menggunakan siku dan
memukul di belakang tengkok. Peserta diwajibkan memakai pelindung kepala.
Menurut setiusaha jawatankuasa SFC, Rumlan Ismail ilham untuk mengadakan SFC datangnya dari Presiden PSSSM, Jalaluddin Shahdan. Ia pernah dicadangkan sebelum ini tetapi hanya sekarang ia dapat dijalankan dengan jayanya.
Menurutnya juga, sebuah kejohanan SFC juga akan diadakan di Kuala Lumpur pada bulan Oktober 2001. Untuk maklumat lanjut, klik sini. Peserta dari lima negeri menyertai kejohanan tersebut. iaitu Pahang, Perak, Selangor, Johor dan Kuala Lumpur. Turut hadir di majlis penutup ialah Guru Utama PSSSM, Ismail Hamzah dan Presiden PSSSM.
Seminar Gayong buka mata pesilat
Oleh MatBlaq
3.08.01: Seminar Jangka Pendek Gayong yang dianjurkan oleh Pertubuhan Silat Seni
Gayong Malaysia (PSSGM) mendapat sambutan yang memberangsangkan. Seminar tersebut
bertujuan membuka mata pesilat-pesilat dengan mendedahkan mereka kepada teknik-teknik yang
diamalkan seni beladiri lain. Ia dihadiri lebih kurang 40 orang daripada pelbagai aliran
silat dan bukan silat.
Cikgu Sheikh Shamsuddin Salim dan cikgu Sheikh Shamsul Salim bertanggungjawab mengendalikan seminar selama tiga jam itu. Cikgu Sheikh Shamsuddin yang kini menetap dan mengajar Gayong di Amerika Syarikat menunjukkan cara Aikido, Kosho Shoryu Kempo, Hapkido dan Silat Kuntau menangkis serangan musuh.
Menurut cikgu Shamsuddin yang bertauliah di dalam seni-seni tersebut, ini merupakan satu cara untuk menyedarkan pesilat-pesilat tentang kualiti beladiri lain. "Setiap beladiri adalah bagus. Oleh itu, kita harus mengkaji apa yang kita belajar supaya kita faham," katanya.
Untuk ke lamanweb Gayong Amerika, sila klik sini.
E-Silat sama berjuang!
Oleh Mohd Fairuz
2.08.01:
Sebuah Lamanweb Silat baru telah muncul di persada siber internet kini
bernama E-Silat. Lamanweb tersebut dikendalikan oleh Mohd Fairuz Abdul Talib.
Beliau kini menjemput pelayar internet untuk sama-sama menyumbang artikel berkaitan silat / beladiri di laman tersebut. Sebagai balasan, jalinan ke lamanweb mereka dapat dukemukakan di lamanweb E-Silat tersebut.
Untuk menyumbang artikel
pelayar perlu mendaftar menjadi ahli komuniti
(percuma) dan password (boleh diubah kemudian) akan dihantar melalui email. Seterusnya
pelayar bolehlah menghantar apa sahaja berita, pengumuman, promosi dan lain-lain.
Webmaster SSWB: Marilah kita sama-sama menyokong usaha memartabatkan Silat Melayu di internet. Sila ramaikan lamanweb E-Silat