Seni Silat Sendeng Malaysia (5.08.01-18.08.01)
Petikan diambil dari laman web http://sendeng.tripod.com
Penggerak atau pembimbing utama yang aktif
menyebarkan pembelajaran Seni Silat Sendeng ini ialah Allahyarham Haji Abdul Hamid bin
Haji Hamzah , yang diwarisinya dari ninda-ninda beliau yang terkenal kehebatan ilmu
kependekaran dan persilatan mereka sejak awal abad ke-20 yang silam.
Beliau mula mempelajari ilmu kependekaran
ini sejak berusia 5 tahun (1932) di bawah asuhan dan bimbingan nindanya sendiri HAJI
HASSAN BIN MAHAT yang dikenali pada zamannya dengan panggilan Haji Hassan Pendekar , mahir
di bidang seni dan permainan alat silat seperti pedang, keris, tekpi, tumbuk lada,
tembong, tuas, tongkat dan kerambit.
Sepuluh tahun kemudiannya beliau berguru
pula dengan dua nindanya yang terkenal iaitu TAMAM DAGANG (terkenal dengan gelaran
pendekar yang kebal dan gagah) untuk mempelajari pukulan / buah sendeng dan HAJI MOHD
ARIFF BIN SHAMSU ,bagi mendalami permainan Pukulan Tujuh Hari.
Kedua nindanya yang terakhir ini telah
berguru dengan seorang pendekar terbilang dan Pengasas Pukulan Sendeng iaitu LONG MAMAT
yang menetap di Padang , Muar Johor Darul Takzim.
Dalam memantapkan ilmu keagamaan dan
kerohanian pula beliau mempelajari dan mendalaminya dengan HAJI MOHD SALLEH BIN ABDUL
KARIM yang terkenal dengan panggilan Kiai Salleh atau Panglima Salleh , Batu Pahat.
Beliau mula mengembangkan ilmu persilatan
sendeng ini secara individu di peringkat awalnya sekitar tahun 1950-an dan kemudian
menamakannya sebagai 'Silat Sendeng Muar'.
Hampir 58 tahun, beliau mengharungi
liku-liku dan pahit manis menyebar dan menggembangkan ilmu persilatan ini ,demi
mengekalkan kesinambungan warisan pusaka bangsa yang diwarisinyanya.Pada tanggal 19 Mei
1990 bersamaan 23 Syawal , 1410 Hijrah , beliau kembali ke rahmatullah dalam usia 63
tahun. Al - Fatihah.
Pemergian Allahyarham Hj.Hamid dianggap
sebagai satu kehilangan besar bagi keluarga sendeng seluruhnya. Perjuangan, pengorbanan
dan jasanya terhadap Seni Silat Sendeng Malaysia mempunyai erti yang amat bermakna sekali
terutama di dalam memperkembangkan SSSM ke beberapa negeri di tanahair.Berbagai
cabaran,onak dan duri direntasi, ombak serta badai diharungi.Namun yang pergi tetap pergi,
yang tinggal sebagai pengganti. Perjuangan memartabatkan SSSM harus diteruskan. kata
pepatah 'patah tumbuh hilang berganti'.
Hj.Ismail bin Hj.Hamzah, kemudiannya telah menerajui
dan meneruskan perjuangan abangnya dan ditabalkan sebagai Guru Utama.Sebagai adik kepada
pengasas (Hj.Hamid) dan dibesarkan di kalangan keluarga pendekar, sudah pasti memperjuang
dan menyambung amanah SSSM tidak menjadi keberatan terhadap beliau.
Kebolehan dan ketokohan semulajadi berkat
bimbingan ibubapa, datuk-datuk dan abangnya, menambahkan lagi kekuatan dan semangat beliau
untuk melayari bahtera sendeng mengharungi samudera yang penuh dengan seribu satu macam
rintangan dan halangan.
Sejak kepimpinan Hj.Ismail, SSSM telah
didaftarkan pada 1992 dan kini bergerak dengan cergas di Johor, Melaka, Negeri Sembilan,
Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pahang, Perak, Kelantan dan WP Labuan.
|