Hadapan | Pengenalan | Persilatan | Senjata | Kalendar | Berita | Islam | Warisan
| Galeri
Sekapur Sirih Seulas Pinang
Silat Melayu merupakan satu seni budaya Melayu yang telah diamalkan selama beratus tahun di seluruh Nusantara. Ia merupakan lambang peradaban orang Melayu di rantau ini dan kini masih diamalkan oleh segenap lapisan masyarakat Melayu yang menetap di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei. Walaupun ia dipanggil dengan berbagai jenis nama, Seni Silat, Pencak Silat, Gayung, Pukulan, Belebat dan lain-lain lagi tetapi nyata Silat itu mempunyai maksud dan pengertiannya sendiri kepada setiap yang mengamalkannya.
Sejak beratus tahun dahulu, Silat Melayu telah mengalami kajian dan penelitian yang mendalam sehingga menghasilkan fahaman gerak yang jitu dan berguna di dalam keadaan aman dan genting. Ia tersendiri secara langsung hasil daripada budaya Melayu dan ciri-cirinya yang tidak terjumpa di mana-mana bangsa lain seluruh dunia. Malah kepada mereka yang mengenali budaya dan orang Melayu, pasti sedar bahawa hanya orang Melayu mampu menghasilkan Silat. Kelembutan dan kekerasan orang Melayu, bersama kebijaksanaan dan keagamaannya tersirat kemas di dalam falsafah dan rasa gerak sesuatu Silat itu.
Pada zaman moden di mana kini teknologi maklumat memacu pemahaman dan pengetahuan ke seluruh dunia dalam masa sesaat sahaja, maka Silat Melayu juga terperangkap di dalam satu dilema buatannya sendiri. Semakin ramai orang Barat datang ke Malaysia ingin menuntut ilmu Silat akibat kecewa dengan beberapa seni beladiri yang dianggapnya tidak mencapai tahap yang diingini. Kalau dilihat kepada kebanyakan Silat Melayu di Malaysia zaman sekarang, untuk berjaya di persada antarabangsa dan juga untuk terus hidup tidak ditelan zaman, maka mereka terpaksa mengikut rentak moden.
Mereka terpaksa menyusun silibus dan menubuhkan persatuan dengan jentera yang cukup untuk menggerakkan perjuangan mereka. Akan tetapi, dengan menjenguk keluar dari ceruk rahsia mereka, Silat Melayu mendapati di sini mereka menghadapi kontroversi. Untuk hidup menandingi seni beladiri asing, maka Silat Melayu harus berkokok menunjuk kejantanan, tetapi jelas sekali berlanggar dengan adat budaya Melayu yang diungkapkan kemas: "Lagi berisi lagi menunduk".
Mujur masih lagi ada yang sayang. Di antara pesilat di Malaysia sudah tentu kenal dengan sumbangan-sumbangan mereka yang menyayangi Silat Melayu. Pernah guru-guru ternama bersatu untuk menubuhkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA). PESAKA berperanan menghidupkan Silat Melayu secara kolektif.
Tidak berkokok berseorangan tetapi berpadu untuk melaungkan Silat Melayu boleh melakukan apa sahaja yang mampu dek seni beladiri asing. Malangnya, kini pesilat sudah meminggirkan perjuangan yang digendong lama oleh pemimpin PESAKA.Kini, pesilat Melayu sudah bangun dan tersedar. Ancaman yang mendatang dari luar dan dalam menjadikan pesilat lebih peka dengan keadaan seni mereka yang tergugat. Kita tidak boleh lagi bergantung kepada yang lain malah perlu bergerak dengan cara yang baru. Maka melangkahlah Silat Gayong, Silat Cekak, Silat Sendeng, Silat Lincah di dalam dan luar negeri memberi inspirasi kepada ramai guru silat untuk tampil ke hadapan mempersembahkan Silat mereka. Kita kini mampu berbangga kerana walaupun mengamalkan satu seni tradisi tetapi nyata pesilat tidak terperangkap di dalam kejahilan. Walaupun agak lewat tetapi kemunculan Silat Melayu di Internet dan di kaca televisyen serta media cetak memberi harapan yang baru untuk kita semua. Tidak lagi kita menunggu untuk ditanya, tetapi kini berani untuk melangkah ke hadapan dan mengaku: Inilah Silat Melayu.
Mohd Nadzrin Wahab