Free Web Hosting Provider - Web Hosting - E-commerce - High Speed Internet - Free Web Page
Search the Web


 
Senjata di alam Melayu merupakan antara senjata dunia yang paling misteri. Sebilah keris di mata orang Melayu tidak sama dengan mata orang asing. Setiap senjata Melayu mempunyai adat dan adab penggunaannya, dari ukurannya kepada pantang larangnya. Untuk menceritakan perihal senjata melalu bacaan atau Internet bukanlah cara terbaik mengenali senjata seperti keris, parang, tembung, lading, tombak, tumbuk lada dan lain-lain. Ia perlu berguru.

Setiap dua minggu, laman Senjata akan menjelajah ke laman-laman yang tersenarai di bahagian rangkaian untuk mengimbas sedikit sebanyak tentang jenis senjata yang dipaparkan. Di dalam artikel-artikel yang dipaparkan, akan ada pendapat-pendapat yang sensitif didengari bangsa Melayu, lagi-lagi apabila kajian senjata tersebut dilakukan orang asing.

Walau apa pun, kumpulkan sebanyak mungkin ilmu mengenai senjata alam Melayu supaya kita tidak dituduh anak cucu kita lupa warisan. Sekiranya anda ingin lamanweb senjata anda disenaraikan di sini, sila email rangkaian@silat.8m.com

Keris-Muzium Negara Malaysia (5.08.01-18.08.01)

Petikan diambil dari laman web http://www.museum.gov.my/senjata/keris.htm

Keris ialah sejenis senjata pendek kebangsaan Melayu yang digunakan sejak lebih daripada 600 tahun dahulu. Ia digunakan untuk mempertahankan diri dan sebagai alat kebesaran diraja. Keris selalu dikaitkan dengan kesaktian dan keistimewaan luar biasa dimana kononnya boleh membunuh dengan menikam bekas tapak kaki musuh berkenaan.

Keris terbahagi kepada tiga bahagian iaitu mata, hulu dan sarung. Jenis-jenis keris dibezakan dengan ciri-ciri tersebut dan mempunyai nama yang unik mengikut ciri-ciri dan juga asal usulnya.

Sebilah keris yang dijumpai pada dinding candi Borobodor, Indonesia mungkin menunjukkan bahawa asal usul keris adalah dari Jawa. Keris yang tertua sekali adalah dipercayai Keris Majapahit.(gambar di sebelah kanan atas)

Keris boleh dikenali jenisnya pada bahagian Hulu, Sarung dan Mata ataupun ketiga-tiganya sekali. Namun demikian jenis keris jarang dikenali mengikut ketiga-tiga bahagiannya, kebiasaannya hanya 2 bahagian sahaja dirujuk.

Antara jenis-jenis keris yang dipamerkan ialah Keris Jawa/Bentuk Wayang, Keris Madura, (gambar bawah kiri) Keris Panjang (gambar kiri) dan Keris Bugis.(gambar kiri)

Karya seni yang tinggi dapat dilihat pada kepelbagaian jenis mata keris lurus dan berluk, ukiran dan perhiasan yang kreatif pada hulu dan sarungnya. Terdapat mata keris yang berbentuk seperti lidah api, dan sarung serta hulunya yang mempunyai bentuk dan rekacorak yang harmonis menunjukkan gabungan seni ukiran, seni pahat dan seni patung yang kaya mutunya. Kesemua hasil seni ini memerlukan seni ketukangan yang tinggi dan kepakaran yang mendalam. Antara keris-keris yang dipamerkan ialah Keris Semenanjung dan Keris Pekaka.

Senjata-senjata yang dipamerkan merupakan senjata kegunaan harian masyarakat Malaysia. Antaranya ialah pisau kait kelapa dan pinang, pisau raut, parang puting, parang tapeh, parang tebu, golok sembelih lembu, golok potong keropok, golok rembau dan sadap daun gambir.

Lembing diperbuat daripada kayu lurus berukuran 6 kaki panjang dan dipasang dengan mata lembing seperti pisau di satu pangkal. Mata lembing ini dimasukkan ke dalam batang kayu dan diperkuatkan dengan ikatan rotan atau simpai logam. Lembing yang terdapat di Malaysia kebanyakan bermata tajam yang diperbuat daripada kayu atau buluh. Lembing bermata logam yang pada asalnya diperbuat samada daripada kuprum atau gangsa dan kemudian digantikan dengan besi atau besi waja, telah digunakan di Malaysia semenjak berkurun dahulu. Kini lembing hanya digunakan untuk upacara rasmi dan istiadat diraja sahaja.